Trending Drama dan Novel




Sebagai seorang intern di Grup Buku Karangkraf dalam masa tiga bulan (Oktober hingga Disember 2013), telah banyak perkara yang saya pelajari mengenai industri penulisan kreatif ini. Yang paling utama ialah trend membaca di kalangan peminat novel-novel Melayu serupa sahaja dengan trend drama masa kini. Daripada jurnal-jurnal yang dibaca di internet, dan interview yang dilakukan, didapati apa yang pembaca mahukan dalam sesebuah novel dari segi jalan cerita, elemen-elemen, watak-watak, ilustrasi kulit hadapan buku, dan genre adalah serupa sahaja yang terdapat dalam drama-drama komersial masa kini.

Pada pendapat saya, trend ini amat menarik kerana novel dan drama merupakan dua media yang berbeza walaupun apa yang dimahukan peminat adalah serupa sahaja. Drama adalah sesuatu yang boleh dilihat dengan mata kasar dan dilakonkan oleh pelakon-pelakon untuk menggerakkan ceritanya. Manakala novel pula merupakan media yang kita baca, tidak boleh dilihat dengan mata kasar dan hanya boleh diimaginasikan keseluruhan ceritanya.

Itulah pendapat saya pada awalnya mengenai novel dan drama TV. Tetapi setelah membaca beberapa jurnal mengenai trend novel dan drama, dan  bertanyakan beberapa orang peminat novel dan drama, kebanyakan mereka berpendapat bahawa novel dan drama sama sahaja walaupun ianya merupakan media yang berbeza. Novel dan drama dianggap sebagai bahan hiburan dan beristirahat. Ada orang yang lebih suka membaca novel daripada menonton drama. Mereka ini menganggap membaca lebih memberangsangkan otak dan meningkatkan lagi daya imaginasi dan kreativiti mereka. Ada juga orang yang lebih suka menonton drama di kaca TV daripada membaca novel. Kata mereka, tiada masa untuk diruangkan membaca novel, jadi menonton drama lagi senang. Ada juga yang sukakan kedua-duanya. Tetapi kebanyakan mereka yang gemar membaca novel dan menonton drama menyatakan mereka sukakan novel yang mempunyai jalan cerita, elemen-elemen, dan watak-watak yang lebih kurang sama dengan drama-drama yang popular masa kini kerana ianya sangat santai, dan mudah untuk difahami.




Oleh kerana penangan drama-drama Korea atau juga dikenali sebagai ‘Hallyu’ semakin berleluasa di kalangan penonton-penonton Melayu, banyak novel Melayu masa kini mempunyai jalan cerita yang lebih kurang sama dengan drama-drama Korea. Semua jalan ceritanya berakhir dengan ‘happy ending’. Kalau mengikut apa yang dilihat di forum Drama Beans atau Drama Krazy, drama-drama yang mempunyai kesudahan yang sedih dan tergantung selalu dikritik pedas oleh peminat. Begitu juga dengan novel yang mempunyai kesudahan yang kurang disukai peminat juga diberi 
kritikan yang pedas dan jualannya kurang laku.

Selain daripada jalan cerita, ilustrasi kulit hadapan novel-novel Melayu juga banyak dipengaruhi drama poster, dan kotak DVD drama-drama Korea. Kebanyakannya boleh dilihat pada novel-novel Buku Prima. Kebanyakan novel Buku Prima mempunyai ilustrasi yang catchy, dan menarik, sama dengan drama poster.

Daripada kajian yang telah dibuat, kebanyakan pembaca novel Melayu gemarkan novel bergenre cinta seperti ‘cinta komedi’, ‘cinta romantik’, dan ‘kisah kekeluargaan’. Kata mereka novel-novel bergenre seperti ini seronok untuk dibaca, menarik, senang difahami, dan banyak pengajaran moralnya. Novel-novel bergenre cinta komedi, romantik, kekeluargaan juga mempunyai jalan cerita yang hampir serupa dengan drama-drama komersial yang disiarkan di kaca televisyen.

Kebanyakan pembaca novel merupakan kaum wanita. Kaum wanita yang membaca novel juga suka membaca sambil mengeluarkan imaginasi sendiri tentang fizikal dan paras rupa watak-watak utama dalam sesebuah novel.  Mereka sukakan watak hero yang kacak, kaya, baik hati, berkarisma, berpelajaran, dan mempunyai kerjaya yang baik. Begitu juga dengan watak heroin. Kebanyakan pembaca sukakan heroin yang cantik, bersikap lemah lembut, dan cerdik. Begitu juga dengan watak-watak dalam drama. Kalau dilihat dalam drama, watak-watak utama selalunya dilakonkan oleh pelakon-pelakon yang tampan, dan cantik. Ini adalah salah satu strategi pemasaran untuk menarik minat penonton dan pembaca.

Selain daripada itu, elemen-elemen di dalam novel juga sama dengan yang terdapat dalam drama. Oleh kerana drama-drama Korea banyak menarik minat penonton Melayu, novel-novel Melayu kini juga banyak menyelitkan elemen-elemen romantik, dan kekeluargaan seperti yang terdapat dalam drama-drama Korea. Contohnya seperti back hug, piggy back ride, gurau senda, sakat-menyakat dan sebagainya. Seperti drama, novel Melayu juga banyak berkisahkan cinta tiga segi antara dua lelaki, dan seorang wanita. Selalunya dalam drama, watak hero kedua meraih simpati daripada peminat kerana gagal meraih cinta si heroin. Kadang-kala watak hero kedua yang menjadi lebih terkenal berbanding dengan watak hero utama di kalangan para peminat. Itulah yang kerap berlaku untuk drama, tetapi untuk novel masih belum pasti kerana kurang nampak netizen (peminat fanatic) novel yang membincangkan perkara-perkara seperti itu di forum atau mana-mana laman web.

Pada pendapat saya, tidak salah untuk novel-novel Melayu menyelitkan jalan cerita, elemen-elemen, dan watak-watak yang hampir serupa dengan apa yang dilihat dalam drama asalkan ianya tidak bertentangan dengan ajaran budaya, bangsa, agama, dan penuh dengan nilai-nilai murni. Kalau dilihat dalam drama yang bergenre komedi, romantik, dan kekeluargaan, ianya banyak mengajar tentang nilai-nilai murni, dan ajaran agama, bangsa, budaya yang hampir hilang oleh kerana pengaruh ajaran barat. Apa yang saya suka tentang sesetengah novel Melayu yang saya pernah baca ialah ia juga banyak mengajar saya tentang pengetahuan umum yang saya belum tahu, dan juga banyak gabungan antarabangsa. Dengan hanya membaca novel, ia boleh meningkat pengetahuan umum saya. Di samping itu, cara pengetahuan umum yang disampaikan dalam sesebuah novel juga menarik dan seronok kerana ianya berbentuk cerita bukan sekadar teks.

Sekarang juga banyak drama atau filem yang diadaptasi daripada novel. Kebanyakan drama ini mendapat sambutan hangat daripada penonton kerana jalan ceritanya yang menarik dan sudah diketahui oleh penonton-penoton yang sebelum ini juga pembaca novel tersebut. Mengikut hasil interview, kebanyakan mereka berkata alasan mereka menonton drama yang diadaptasi dari novel adalah kerana mereka sudah tahu jalan ceritanya. Pada mereka, jalan ceritanya sangat seronok dan memang sesuai dijadikan dalam bentuk visual, dan ada juga yang mahu bezakan sama ada menonton drama lagi seronok daripada membaca novel atau  sebaliknya. Kadangkala membaca, dan menonton cerita tidak sama rasanya. Adakalanya membaca lebih seronok, dan adakalanya menonton cerita tersebut lagi seronok. Selain daripada drama yang mendapat sambutan, jualan novel tersebut juga kembali laku oleh kerana sambutan daripada penonton. Ini juga menguntungkan penulis novel dan pihak publisher novel. Drama merupakan salah satu strategi untuk melariskan jualan novel tersebut apatah lagi kebanyakan novel Melayu kini memang sesuai untuk dijadikan drama. Antara drama yang diadaptasi daripada novel ialah ‘Adam dan Hawa’, ‘Love You Mr Arrongant’, ‘Kampung Girl’, dan banyak lagi.  Yang akan datang pula ialah ‘Cucur Bawang Kopi O’ 
oleh Hasrudi Jawawi yang akan ditayangkan tahun depan di kaca TV.

Fenomena drama adaptasi novel bukan sahaja popular di Malaysia, tetapi di luar negara juga. Malah, fenomena ini sudah lama di luar negara. Kalau dilihat di Hollywood sudah banyak drama dan filem yang diadaptasi daripada novel-novel komersial. Antaranya penulis novel romantik Nicholas Sparks sudah banyak novel-novel tulisannya dijadikan movie seperti ‘The Notebook’, ‘A Walk To Remember’, ‘Message In A Bottle’, ‘Night in Rodanthe’, ‘Dear John’, dan banyak lagi. Hampir kesemua filem yang diadaptasi daripada novel Nicholas Sparks mendapat sambutan hangat daripada penonton-penonton oleh kerana jalan ceritanya yang menarik, penuh dengan nilai-nilai murni, cinta, dan kekeluargaan. Novel-novel Nicholas Sparks juga meraih sambutan yang lebih besar setelah filem-filem yang diadaptasi daripada novelnya disiarkan di layar perak.



Contoh lain pula, drama bersiri yang pernah mendapat sambutan hangat di kalangan remaja di seluruh dunia iaitu ‘Gossip Girl’ juga merupakan adaptasi daripada novel bersiri yang ditulis oleh Cecily Von Ziegesar. Novel bersiri Gossip Girl itu mendapat
sambutan hangat dikalangan remaja perempuan sehingga salah seorang penerbit di Hollywood berminat menjadikan cerita itu dalam bentuk visual.

Pada pendapat saya, tidak salah sekiranya novel Melayu mempunyai jalan cerita, elemen-elemen, watak-watak, ilustrasi kulit hadapan, dan genre yang sama seperti drama kerana itu yang dimahukan oleh pembaca. Lagipun kajian sudah membuktikan bahawa peminat novel dan drama menganggap kedua media ini sebagai bahan hiburan dan istirahat mereka cuma drama berbentuk visual, manakala novel berbentuk teks. Apa yang penting dalam sesebuah novel, ianya perlu juga ada pengajaran yang baik, nilai-nilai murni, dan pengetahuan umum yang boleh dipelajari kerana ia akan membuatkan jalan ceritanya lagi menarik untuk dibaca, dan juga memberi faedah kepada pembaca.

Ini juga merupakan salah satu strategi pemasaran untuk novel-novel Melayu yang merupakan salah satu ilmu yang berharga yang saya peroleh semasa internship di Grup Buku Karangkraf. Bak kata orang putih ‘the main trend is the current lifestyle trend’ yang bermaksud trend terkini banyak kaitan dengan gaya hidup masyarakat masa kini. Begitu juga untuk novel dan drama. Novel dan drama juga perlu ikut trend yang disukai masyarakat kini. Penonton drama suka drama yang mempunyai jalan cerita yang ringan, santai, mudah difahami, penuh dengan pengajaran dan nilai-nilai murni, serta elemen-elemen yang sentimental. Selain itu mereka juga suka drama yang mempunyai hero dan heroin yang kacak dan cantik, dan juga poster drama yang catchy, dan menarik. Sama juga dengan novel. Novel-novel melayu terkini banyak mempunyai jalan cerita yang ringan, santai, mudah difahami, penuh dengan pengajaran dan nilai-nilai murni, dan elemen-elemen yang sentimental yang disukai oleh penonton drama. Kebanyakan hero dan heroin dalam novel juga kacak dan cantik. Malah lebih menarik lagi dari dalam drama kerana kita dapat mengimaginasikan paras rupa mereka mengikut selera yang kita suka. Kebanyakan ilustrasi kulit novel terkini juga sangat catchy dengan hiasan-hiasan yang menarik dan kreatif seperti poster drama juga mendorong pembaca untuk membaca novel tersebut. Oleh itu ilustrasi kulit hadapan novel memainkan peranan penting dalam strategi pemasaran novel.

Hampir terlupa saya nyatakan, tajuk sesebuah novel juga merupakan peranan penting dalam pemasaran. Untuk trend terkini, pembaca sukakan tajuk yang catchy, santai, dan ringkas seperti tajuk drama dan filem. Kata mereka ia sangat komersial dan senang mereka ingat. Contoh tajuk-tajuk novel yang menarik seperti ‘Kampung Girl’, ‘Cucur Bawang Kopi O’, ‘Cinta MOU’, dan banyak lagi. Dengan strategi komersial ini juga, saya rasa minat membaca di kalangan pembaca Melayu juga boleh dipertingkatkan. Strategi ini mampu menarik minat  penonton drama yang kurang membaca untuk membaca novel yang jalan cerita, dan segala isi kandungannya hampir serupa dengan drama. Ia juga boleh menyedarkan mereka bahawa membaca novel boleh lagi meningkatkan kreativiti, inovasi, dan daya imaginasi mereka.
 


Comments

Popular Posts